Karnival Kesihatan di Mentari Court bersama Pelajar Kolej Antarabangsa Inovatif

oleh : Nabilah Akram – Oktober 20, 2022 @ 2:17 pm

Petugas-petugas kesihatan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Petaling membuka booth berkenaan nyamuk AEDES

Sebuah Karnival Komuniti Sihat telah diadakan pada 10 Oktober 2022 di Lokaliti Mentari Court Apartment yang dianjurkan Squad Kombi Mentari Court Apartment.

Karnival dimulakan dengan aktiviti senamrobik dan pertandingan mewarna sementara menerima pendaftaran peserta dari pukul 7 hingga 8 pagi. Sejurus selepas itu, para peserta berpeluang untuk menjalani ujian pemeriksaan kesihatan dan menderma darah.

Sambil menunggu ketibaan para jemputan untuk memulakan perasmian majlis, program terus dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan menarik, antaranya pertandingan renang, pertandingan takraw dan pertandingan memasak makanan seimbang. Aktiviti-aktiviti ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan menjaga kesihatan dalam segala aspek kehidupan. 

Penyampaian hadiah diadakan selepas perasmian majlis sebelum karnival diteruskan dengan aktiviti pameran oleh pelbagai agensi kesihatan. Para peserta juga berpeluang untuk menikmati gerai-gerai jualan dan mencuba nasib dalam cabutan bertuah. Majlis bersurai sekitar pukul 4 petang setelah jamuan makan tengahari dihidangkan kepada semua peserta dan jemputan khas.