Selepas tamat SPM, pelajar boleh menyambung pelajar dalam apa sahaja bidang kerana terdapat pelbagai kursus yang ditawarkan di institusi-institusi pengajian tinggi. Sama ada pilihan dibuat berdasarkan minat atau populariti kursus, pelajar perlulah bijak memilih program di mana mereka tidak akan mempunyai masalah untuk mendapatkan kerja setelah tamat belajar.
Sesetengah kursus mempunyai permintaan yang lebih tinggi daripada program lain. Berikut adalah senarai kursus yang mampu menjamin pekerjaan selepas tamat pengajian.
1. IT dan sains komputer
Bidang sains komputer dan teknologi maklumat adalah luas dan mendalam. Ia merupakan salah satu sektor yang paling pesat berkembang dalam pasaran Malaysia setakat ini. Menurut laporan GlobalData Market Opportunities Forecasts, perbelanjaan IT di Malaysia akan mencecah RM103.
Apabila kebergantungan masyarakat pada teknologi semakin meningkat, begitu juga keperluan untuk profesional IT yang berkelayakan untuk membantu orang ramai kekal berhubung seiring dengan perkembangan teknologi.
2. Perakaunan
Perakaunan adalah satu kerjaya yang berurusan dengan nombor-nombor besar dan merupakan aspek yang penting dalam perniagaan pelbagai industri.
Setiap industri memerlukan akauntan dan pakar dalam kerja-kerja yang melibatkan cukai, senarai gaji, pengauditan, pelaburan dan banyak lagi.
Setiap perniagaan mempunyai sama ada seorang akauntan atau satu pasukan kewangan. Sehingga 2026, bidang ini dijangka berkembang sebanyak 26% untuk pengurus kewangan dan sebanyak 11% untuk penganalisis kewangan.
3. Pentadbiran perniagaan
Mengikut perkembangan trend, dan terutamanya bagi pelajar yang ingin belajar secara atas talian, kursus pentadbiran perniagaan adalah program yang popular. Oleh kerana kursus ini lengkap menyediakan pelajar untuk memegang pelbagai jawatan, mereka yang mempunyai kelulusan dalam program ini boleh memasuki bidang perniagaan sebagai pengurus, penganalisis, CEO dan banyak lagi.
Sijil bernilai tinggi ini sesuai untuk didapatkan secara atas talian kerana kebanyakan subjek bersifat fleksibel. Malah pelajar juga boleh bekerja sambil belajar.
4. Jualan dan pemasaran
Walaupun kebanyakan penggiat-penggiat industri pemasaran mungkin memegang ijazah yang berbeza dan datang dari latar belakang yang berbeza, program jualan dan pemasaran adalah lebih daripada sekadar berurusan dengan jualan dan pengiklanan.
Ia juga merangkumi penilaian tingkah laku pelanggan, membangunkan serta mengekalkan imej jenama.
Bidang ini juga kini telah berkembang ke dunia dalam talian. Malah, banyak negara telah mencatatkan pertumbuhan besar dalam pemasaran dan pengiklanan secara atas talian sahaja.
5. Hospitaliti dan pengurusan hotel
Prospek kerjaya untuk industri hospitaliti agak baik kerana pelancongan berkembang pesat di seluruh dunia dan bilangan hotel terus meningkat setiap tahun. Hotel merupakan sebahagian daripada industri pelancongan. Apabila jumlah pelancong semakin bertambah, semakin banyak hotel tumbuh bak cendawan di seluruh Malaysia.
Pelajar lepasan SPM yang mahukan kerjaya dalam industri perhotelan boleh memilih untuk mengikuti Diploma Pengurusan Hotel atau Diploma Pengurusan Hospitaliti di mana-mana kolej atau universiti swasta di Malaysia. Dalam kursus ini, pelajar akan mempelajari aspek pengurusan perniagaan hotel dari bawah.