KUALA LUMPUR: Swap Chan PTE LTD, perintis teknologi blockchain di Malaysia menandatangi memorandum persefahaman (MoU) dengan Kolej Antarabangsa Inovatif bagi menawarkan program berkaitan blockchain dan mata wang digital (kripto), jurusan pertama seumpamanya ditawarkan di pusat pengajian tempatan.
Pengasasnya, Datuk Muhd Azrainuddin bin Zainal, berkata menerusi kerjasama itu, beliau akan berkongsi kepakarannya sebagai peserta industri, kepada pihak pengurusan kolej dalam membina modul berkaitan subjek khusus mengenai blockchain.
“Kita lihat ketika ini industri blockchain dan kripto semakin berkembang pantas dan ia diperkatakan di seluruh dunia.
“Malah, industri ini bermula pada waktu yang sama di seluruh dunia dan Malaysia berpeluang untuk mendahului dalam bidang ini kerana kita negara pertama tawarkan program Diploma Teknologi Blockchain,” katanya selepas menandatangani MoU itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
MoU itu antara acara iringan sempena Simposium Blockchain Antarabangsa 2.0 yang menghimpunkan pakar industri antarabangsa dalam blockchain dan kripto bertujuan berkongsi pandangan mengenai hala tuju industri berkenaan menjelang 2020.
Turut hadir, Ketua Eksekutif Kolej Antarabangsa Inovatif, Shahawati Umar.
Selain perkongsian kepakaran dan bakat, MoU itu juga menandakan satu lagi kemajuan dalam industri blockchain dan kripto apabila mata wang digital DDKoin (DDK), yang diasaskan oleh Swap Chain PTE LTD diiktiraf sebagai mode pembayaran bagi program yang ditawarkan di Kolej Antarabangsa Inovatif.
Mengulas mengenai kerjasama itu, Shahawati berkata ia bagi menyahut saranan kerajaan dalam mengadaptasi Revolusi Industri 4.0 di dalam sektor pendidikan dan industri.
“Apa yang kita mahu adalah lahirkan graduan yang berpadanan dengan perkembangan industri yang mahu atau tidak, perlu berdepan Revolusi Industri 4.0.
“Jika kita tidak sahut sekarang kita akan ketinggalan di belakang. Dalam bidang pendidikan, jika tiada kerjasama dengan pihak industri, kita hanya lahirkan graduan yang hanya lulus peperiksaan sahaja.
“Jadi, dengan adanya kerjasama ini, dan dengan penawaran program Diploma Teknologi Blockchain, kita mampu lahirkan lebih ramai pakar dalam bidang blockchain dan kripto,” katanya.
Program Diploma Teknologi Blockchain akan ditawarkan bermula pengambilan pelajar sesi Mei 2020 dengan sasaran 60 pelajar pada peringkat pertama.
Beliau berkata, pihaknya juga mahu menjadi peneraju dalam melahirkan pakar industri dan akademik membabitkan teknologi blockchain.
“Masalah di peringkat pendidikan ketika ini adalah apa-apa yang datang dari pihak industri selalunya lebih laju daripada pendidikan itu sendiri.
“Selalu kita dengar bidang pendidikan tidak mampu sediakan pakar untuk industri itu sendiri. Justeru, untuk ke arah teknologi blockchain, bidang pendidikan perlu bersama memacu industri blockchain di Malaysia,” katanya.
Berdasarkan laporan akhbar tempatan baru-baru ini, industri membabitkan saintis data dan teknologi baharu dijangka menjadi bidang pekerjaan baharu menjelang 2022.
Sumber oleh Berita Harian.