Pendidikan adalah pelaburan bukan sahaja untuk kemajuan diri dan keluarga tetapi juga masa depan bangsa.
Rata-rata ibu bapa sanggup berkorban atas kesedaran terhadap kepentingan pendidikan untuk anak bak kata pepatah ‘tak kayu jenjang dikeping’.

1. Kenapa pendidikan perlu diberi percuma?

Kebanyakan ibu bapa berpendapatan sederhana dan rendah sanggup berhutang, menjual atau menggadaikan harta benda demi membiayai pendidikan anak mereka.
Nilai pelaburan itu meningkat ke tahap amat tinggi, terutama bagi mendapatkan pendidikan berkualiti. Di samping kenaikan kos sara hidup, keadaan ekonomi tidak menentu dan pelbagai faktor lain turut menjadi penghalang untuk sesetengah pelajar melanjutkan pelajaran.
Keadaan itu sekali gus menyaksikan ramai pelajar berkenaan tercicir daripada arus pendidikan tinggi dan seterusnya pembangunan ekonomi negara.
Perlembagaan Malaysia Perkara 12, Perlembagaan Rakyat 1947 Seksyen 15 dan Deklarasi Hak Asasi Sejagat 1948 Perkara 26 menyatakan bahawa setiap rakyat berhak mendapat pendidikan.

Pinjaman penuh PTPTN

Pendidikan kini bukan mudah dimiliki apabila mereka yang tidak dapat memasuki universiti awam terpaksa ke universiti swasta tanpa bantuan pinjaman penuh untuk pembiayaan yuran sedangkan kira-kira 11 juta rakyat masih berpendapatan bawah RM1,500 sebulan.
Kemiskinan menyebabkan sebilangan pelajar tidak mampu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT). Sehubungan dengan itu, pendidikan perlu diberi percuma bagi membantu rakyat menikmati peluang pengajian di menara gading dan menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara kelak.
Berikutan itu, MYEP menyediakan beberapa program pengajian dengan kemudahan pinjaman penuh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), justeru pelajar tidak perlu bimbang dan berpeluang memasuki IPT tanpa kekangan kewangan.

Lebih berdedikasi

2. Jika pendidikan percuma diberikan, adakah kualitinya akan jatuh?

Tidak sama sekali. Kadar literasi negara yang memberi pendidikan percuma adalah jauh lebih baik dan berada pada kedudukan antara teratas. Pendidikan percuma bukan sahaja akan memberikan lebih banyak peluang kepada golongan tidak berkemampuan, malah dapat membantu mencungkil bakat mereka.
Ini bakal melahirkan pelajar lebih berdaya saing kerana bukan daripada latar belakang senang, justeru akan bekerja lebih keras dan berdedikasi atas keinginan mengubah hidup keluarga mereka yang susah.

Belajar bersungguh-sungguh

3. Jika memberi pendidikan percuma, adakah pelajar akan menjadi malas?

Setiap tahun, Malaysia berusaha melahirkan ramai doktor pakar dan saintis terbaik di dunia. Sistem belajar hanya untuk lulus peperiksaan dan mendapat kerja yang baik. Ini menyebabkan pelajar hilang sifat kemanusiaan dan menjadi lebih individualistik.
Dengan memberi insentif kepada pelajar berkelayakan tetapi tidak mampu melanjutkan pelajaran, mereka bukan sahaja tidak malas tetapi sebaliknya akan lebih fokus dan belajar lebih bersungguh-sungguh atas kesedaran bahawa itu adalah satu-satunya peluang untuk berjaya.

Pendidikan harus percuma

4. Adakah pendidikan percuma untuk semua pelajar atau yang terpilih?

Pendidikan percuma untuk semua pelajar tanpa mengambil kira latar belakang kaya, miskin, agama dan status. Semua pelajar di Malaysia harus mendapat  peluang pendidikan. Pendidikan haruslah percuma.
Ramai yang tertanya-tanya adakah adil memberi pendidikan percuma kepada golongan kaya atau korporat sedangkan mereka mampu membiayai sendiri. Ini dapat dilihat dari segi pinjaman disediakan kerajaan dengan PTPTN hanya menanggung sebanyak RM17, 000 untuk pengajian diploma.

Berikan biasiswa

Bagi membantu pelajar, MYEP melancarkan program pendidikan tinggi percuma pada peringkat ‘foundation’ dengan memberikan biasiswa kepada mereka yang memohon dan layak. Program ini menjanjikan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di IPT.
Program ditawarkan adalah dalam bidang perhotelan, perbankan, pelancongan dan teknologi maklumat.
Bidang itu dipilih selaras pembangunan negara yang terarah kepada ekonomi berasaskan perkhidmatan. Industri dalam bidang itu bukan sahaja mencapai tahap global, malah menjamin peluang pekerjaan dan pendapatan yang tinggi.
Tempat adalah terhad, iaitu hanya terbuka kepada 500 pelajar yang layak. Tarikh tutup pendaftaran ialah pada ambilan Mei 2016 sahaja. Mereka yang berminat, sila layari laman web: www.myep.my atau sms ‘PTP’ ke talian: 016-739 4453.